Saturday, April 24, 2010

Syafaat Selawat Kepada Rasulullah..

Assalamualaikum semua..

Sufyan as-Sauri bercerita:

Ketika bertawaf mengelilingi Kaabah, aku melihat seorang lelaki. Setiap kali dia melangkah, dia terus berselawat kepada Rasulullah. Aku barasa hairan apabila melihat keadaan itu. Aku mendekatinya dan bertanya, "Mengapa engkau meninggalkan bacaan tasbih, tahmid dan tahlil, tetapi hanya membaca selawat sahaja? Apakah ada sesuatu terjadi pada dirimu?"

"Tuan ini siapa? Moga2 Allah merahmatimu," tanya orang itu. "Namaku Sufyan as-Sauri," jawabku.

"Sekiranya tuan bukan seorang yang 'arif pada zaman ini, tentulah aku tidak akan mempedulikan kata2 mu itu. Tetapi lantaran tuan ini seorang yang 'arif, dan mungkin rahsia ini masih belum tuan ketahui, aku akan memberitahu tuan rahsiaku ini," jawab orang itu.

"Baiklah, dengar ceritaku ini," sambungnya lagi.

Aku meninggalkan negeriku bersama2 ayahku bagi mengerjakan ibadat haji ke Baitullahil-haram, kemudian kami berziarah ke maqam Rasulullah SAW. Kami tidak lupa berselawat dan salam ke atas baginda. Ketika di pertengahan jalan, ayahku tiba-tiba jatuh sakit. Sakitnya terlalu kronik. Aku berusaha merawatnya dan menjaganya dengan sepenuh kemampuanku, namun sia-sia belaka. Dia tidak dapat dirawat lagi. Akhirnya dia meninggal dunia.

Aku sangat sedih atas pemergiannya, namun apa yang membuat hatiku bertambah sedih ialah wajah ayahku yang asalnya tampan bercahaya, berubah menjadi hitam legam, dan begitu menakutkan. Aku sangat terkejut melihat keadaannya. Aku menangis kesedihan, lalu aku tutup wajahnya dengan kain. Sungguh tidak terbayangkan kesedihanku ketika menyaksikan keadaan ayahku yang sebegitu rupa. Lebih2 lagi dia meninggal di tempat orang. Betapa malunya jika ada orang yang mengetahui keadaan ayahku saat itu. Sedangkan ayahku adalah ahli ibadah.

Aku terus menunggu dengan perasaan hati yang hancur. Aku hanya mampu menangis dan tidak mampu berbuat apa-apa. Aku terus bertafakur di sisi kepala ayahku. Tiba-tiba aku tertidur. Dalam tidur itu, aku bermimpi, seakan-akan melihat sinar yang semakin mendekati tempatku ini. Ternyata sinar itu bersumber daripada seorang yang sangat gagah lagi tampan. Pakaiannya bersih, wajahnya bersinar terang, dan baunya harum sekali. Aku tidak pernah melihatnya sebelum ini, dan aku belum mengenalinya.

Dia terus menuju kepadaku. Satu2 jalannya sehinggalah dia berada di sisiku.

"Apa yang berlaku kepada dirimu?" dia bertanya.
"Ayahku telah meninggal dunia," aku menangis. Belum sempat aku bercerita seterusnya, dia berkata, "Jangan menangis! Semua manusia mesti mati!"

"Tetapi wajahnya," kataku. "Wajahnya hitam legam. Tolonglah aku!" aku merayu-rayu untuk mengharapkan bantuan.

Tanpa berkata apa2, dia terus membuka kain yang menutup wajah ayahku itu, lalu mengusapkan telapak tangannya pada wajah ayahku. Ajaib sekali! Aku hampir tidak percaya apa yang berlaku. Wajah ayahku kembali putih bersih, dan lebih bercahaya daripada asalnya. Apakah penawarnya?

Dia kemudian mengambil kain tadi dan menutup semula wajah ayahku. Kemudian dia hendak kembali semula dari arah dia datang tadi.

Melihat dia mahu pergi, dan aku belum lagi tahu siapa dia orang ini, aku segera memegang bajunya lalu bertanya, "Siapakah tuan yang menolong ayahku ini?"

Dia tersenyum, kelihatan nur sinar daripada senyumannya. Wajahnya seperti bulan purnama.


"Aku ini Muhammad," dia menjawab.

"Muhammad?" aku meminta penerangan yang lebih jelas.

"Muhammad, Rasulullah. Akulah pembawa al-Quran," dia menjelaskan.


Aku terus terduduk dan terpinga-pinga sambil menikmati wajahnya yang mulia itu. "Inilah dia Rasulullah SAW," aku berkata dalam hatiku. Lidahku kelu, tidak terkata apa pun.


"Ayahmu ini terlalu banyak membuat perkara yang sia-sia dalam hidupnya. Namun begitu, dia selalu berselawat dan salam kepadaku. Ketika dia mengalami perkara buruk seperti ini, dia memohon kepadaku untuk membantunya. Sebab itu aku datang ke mari untuk membantunya, dan aku selalu menolong orang yang selalu membaca selawat dan salam kepadaku," jelasnya.


Pada saat itulah aku terkejut daripada mimpiku itu, dan terus teringat apa yang berlaku dalam mimpiku itu tadi. Aku terus membuka kain yang menutupi wajah ayahku itu, dan betullah seperti apa yang berlaku dalam mimpiku tadi. Wajah ayahku telah kembali putih besih dan lebih bercahaya.


Aku termenung mengingatkan apa yang berlaku dalam mimpi yang berkat itu. Aku berkata dalam hatiku, "Mengapa tidak mengambil masa yang lebih lama mimpiku tadi supaya aku dapat berada lebih lama di samping manusia utama yang amat mulia..


"Inilah kisahnya, wahai Sufyan as-Sauri! Sekarang engkau sudah tahu rahsia mengapa aku terus berselawat ke atas Nabi SAW setiap kali aku melangkah. Aku akan terus berselawat ke atasnya sebanyak yang aku mampu. Moga2 aku mendapat pertolongannya pada suatu hari nanti, sama ada di dunia mahupun akhirat," orang itu menjelaskan pula kepada Sufyan as-Sauri, lalu dia pun berjalan meneruskan tawafnya, sedang lisannya tidak berhenti daripada menyebut selawat dan salam ke atas baginda.


Perbanyakkanlah selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW. Moga2 Allah SWT akan mengampuni kita semua daripada dosa2 besar kita, membimbing kita ke jalan sirathulmustaqim, dan seterusnya diselamatkan daripada seksa neraka Jahim. Ameen..


Sumber: Buku berjudul "Belajar Dari Para Wali", nukilan Wan Ji Wan Husin, pandangan sisi oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.





2 people smiling (: on "Syafaat Selawat Kepada Rasulullah.."

shameel Iskandar on April 26, 2010 at 6:55 AM said...

selawat kepada Nabi s.a.w tidak sekadar lafaz dari bibir. ia mengandungi seribu erti dan sejuta makna. erti cinta kepada junjungan mulia. makna kasih kepada rasul tercinta. cinta dan kasih kepada pembawa rahmat ke atas kita(sekalian alam)

Mesintaip: on April 28, 2010 at 7:24 AM said...

Allahuma sholli 'ala Muhammad, wa 'ala ali Muhammad.

 

____________________________________________________ Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal